Rata-rata pengguna ketika ini lebih gemar memilih Windows sebagai sistem operasi (OS) PC atau notebook mereka. Pilihan ini tidak salah, tetapi seolah-olah itu sahaja pilihan yang ada. Jika ada pilihan lain sekali pun, Windows tetap menjadi pilihan kerana OS ini telah sebati atau selalu digunakan dalam kehidupan seharian kita. Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang ragu-ragu atau rasa keberatan untuk mendekati Linux. Malah, ada pelbagai alasan yang diberikan untuk mencubanya. Hakikatnya, mendekati Linux bukanlah sesuatu yang merugikan, sebaliknya boleh membantu anda jika Windows dilanda masalah.
Bagi yang belum menyentuh Linux, ada satu sifatnya yang boleh mencuri perhatian. Sifat tersebut boleh dinamakan sebagai kebebasan. Mungkin kerana Linux direka berlandaskan kebebasan, maka penggunanya diberi peluang untuk menikmati kebebasan itu. Misalnya, anda bebas memuat turun dan memiliki failnya untuk dipasang ke dalam komputer. Atau, anda boleh membina sistem penyelamat (pada CD, DVD, HDD, SSD, atau thumbdrive) untuk membaiki sistem Windows yang bermasalah. Sistem berkenaan terbukti secara efektif untuk memulihkan Windows yang gagal melepasi proses "boot".
Jika anda berhajat untuk mencuba Linux, sila teruskan. Pelbagai distronya boleh dimuat turun di tapak web pemajunya atau di tapak web yang menyediakan pelbagai perisian, seperti Softpedia (www.softpedia.com). Ada sejumlah distro yang popular ketika ini, antaranya Ubuntu, Fedora, OpenSUSE, dan LinuxMint. Majoriti failnya boleh dimuat turun secara percuma dan biasanya diedarkan dalam format ISO. Apa yang menarik, sesetengah distro Linux turut menjadi teras kepada sistem penyelamat yang melengkapi majoriti produk antivirus atau sut keselamatan internet di pasaran.
Manakala saiz untuk setiap distro Linux selalunya berbeza. Bermula dari puluhan megabait (MB) hingga mencecah beberapa gigabait (GB). Namun, majoritinya dalam ratusan MB atau lebih 1GB. Bagi saiz sebesar itu, anda perlukan masa untuk memuat turun failnya. Ini tertakluk kepada kelajuan talian internet anda. Kalau talian internet anda laju, masa yang diambil mungkin puluhan minit sahaja. Jika talian berwayar, seperti UniFi dan Streamyx digunakan, tentu tiada masalah menunggu lama. Bagi jalur lebar (Broadband) wayarles pula, taliannya agak perlahan dan kosnya juga lebih.
Format ISO sering digunakan untuk pengedaran distro Linux. Tujuannya, untuk menyenangkan anda merakam (burn) atau menulis fail tersebut pada jenis media yang menyokongnya. Ini termasuklah CD-R/RW dan DVD-R/RW yang mengizinkan anda menulis data padanya. Sama ada anda perlu memilih CD atau DVD, ianya tertakluk kepada saiz fail distro yang terlibat. Misalnya, muatan sekeping CD terhad kepada 700/800MB sahaja. Manakala muatan sekeping DVD boleh mencecah 4GB. Namun ketika ini, harga bagi sekeping CD-R dan DVD-R sudah tidak banyak bezanya.
Selain CD/DVD, fail distro Linux juga boleh ditulis atau dipasang ke dalam pemacu USB flash (thumbdrive). Cuma, anda perlu pastikan muatan thumbdrive berkenaan boleh menampung direktori fail yang terhasil. Sesetengah distro boleh dimuatkan ke dalam thumbdrive yang bersaiz 2GB. Seboleh-bolehnya, gunakan yang bermuatan 4GB atau lebih. Ini penting kerana sesetengah distro membenarkan anda menulis atau menyimpan fail di dalam direktorinya. Selain itu, cuba dapatkan thumbdrive yang lebih pantas (USB 3.0) kerana faktor ini menyumbang kepada kelajuan Linux beroperasi.
| Dapatkan thumbdrive yang pantas untuk mencipta LiveUSB |
Tanpa bantuan aplikasi yang sesuai, anda tidak boleh mencipta sekeping cakera penyelamat yang dilengkapi distro Linux. Jika CD/DVD ingin digunakan, anda hanya perlukan aplikasi perakam yang ada dalam Windows. Atau, anda boleh menggunakan aplikasi lain seperti BurnAware Free. Cakera berisi Linux yang dihasilkan juga dikenali sebagai LiveCD/DVD. Tetapi kalau thumbdrive digunakan, anda perlukan aplikasi khas seperti UNetbootin untuk memasang distro yang serasi dengannya. Thumbdrive berisi Linux yang terhasil nanti dinamakan LiveUSB. Itu sahaja yang saya ingin kongsikan kepada anda hari ini. Selamat Mencuba........:)

